Wednesday 4 October 2017

Duit! Membina atau Menghancurkan Hidup?

Tarikh 1 September 2017, menyaksikan tarikh terakhir saya bergelar Engineering Manager. Saya mengambil keputusan untuk berhenti bekerja dan mencabar diri sekiranya saya mampu untuk meneruskan hidup tanpa perlu bekerja lagi. Ini bukanlah satu objektif hidup yang bagus untuk semua orang ye, sebab bukannya mudah untuk "tidak bekerja" tanpa sebarang rancangan kukuh dalam penyaraan hidup.

Dalam post-post lepas, ada saya bentangkan sedikit sebanyak langkah-langkah yang saya lakukan yang akhirnya membawa saya ke tahap ini. Mungkin boleh dapat saya simpulkan semuanya di sini, untuk dijadikan rujukan pada para pembaca yang berminat untuk menyusun-atur kewangan peribadi masing-masing.

Tahun 2005
Pada umur 27 tahun, bergaji RM5,000, mendorong saya hidup mewah dan berbelanja sesuka hati. Tiada perancangan budget, tidak berkira-kira ketika berbelanja, makan-minum di tempat mewah, pakaian ber"brand" yang paling up to date, melancong tanpa merancang, shopping ikut sedap mata memandang. Dalam fikiran saya, gaji saya cukup besar, kenapa perlunya saya berjimat cermat dalam belanja? Silap besar.

Tahun 2006
Sikap boros mendorong saya ke arah hutang bank sebanyak RM106,000. Hutang terkumpul dari over limit kredit kad dan juga beberapa personal loan. Bayaran minima bulanan ialah RM7,000 sedangkan gaji cuma RM5,000 sebulan.

Saya berhutang dengan 12 bank. Cuba berbincang dengan bank-bank untuk mengurangkan bayaran bulanan tetapi tidak begitu berjaya. Banyak bank langsung tidak mahu bekerjasama apabila pelanggan mula gagal bayar bulanan.

Dapat tahu mengenai AKPK di bawah kelolaan Bank Negara Malaysia. Segera mendaftar untuk "Debt Management Program" di AKPK. Saya serahkan separuh gaji bulanan kepada AKPK untuk membayar hutang-hutang tertunggak. Saya juga turut sedar diri yang saya bukannya kaya untuk hidup mewah. Saya ambil initiatif (juga dengan khidmat nasihat AKPK dan rujukan Google) untuk merangka budget bulanan, mencatat money-flow harian dan mengurangkan perbelanjaan. Ini memang sangat perit dalam 3 bulan pertama, tetapi lama kelamaan, jadi habit kewangan yang sangat sihat.

Banyak tools yang saya gunakan dalam proses memperbaiki kewangan seperti Kaizen, Six Sigma dan Budget Tools, bermula dari mencatat di dalam buku nota 555 hinggalah menggunakan aplikasi di telefon pintar.

Tahun 2010
Setelah 4 tahun setengah bersama AKPK, semua hutang kredit kad dan personal loan berjaya dilangsaikan. Menjadi Debt Free atau Bebas Hutang ketika tahun ini. Dalam masa sama, berjaya membentuk habit kewangan yang sangat sihat. Berjaya juga menyimpan sehingga 8 bulan gaji, sebagai simpanan kecemasan.


Disebabkan habit perbelanjaan yang sihat, setiap bulan, pasti akan menyimpan lebih dari 10% gaji sebagai aset. Ada masanya, sehingga 50% gaji bulanan dapat diketepikan untuk mem"beranak"an lagi aset terkumpul. Aset-aset yang dikumpul dipecah-pecahkan kepada ASB dan juga Gold Investment, disebabkan portfolio pelaburannya yang low risk, medium return.

Tahun 2015
Aset terkumpul dalam bentuk wang dan emas mencecah RM300,000. Apalagi dengan compounding dividen, menggalakkan lagi aset berkembang secara sihat. Mula merancang objektif jangka masa panjang, iaitu portfolio persaraan. Rancangan persaraan memerlukan tempoh 15 tahun untuk mengumpul cukup wang dan dijangka boleh bersara secara selamat menjelang umur 50 tahun.

Tahun 2016
Mendedahkan diri pada pelaburan hartanah. Joint Venture bersama property manager, membolehkan melabur dalam hartanah tanpa menggunakan modal yang besar. Berjaya membeli 3 rumah teres 2 tingkat di kawasan Desaru, Johor untuk diuruskan sebagai rumah sewa atau homestay. Dengan adanya hartanah sebagai cagaran pelaburan, risiko pelaburan adalah rendah dan menguntungkan untuk jangka masa panjang.

Tahun 2017
Mendapat tahu mengenai cryptocurrency, atau lebih dikenali sebagai Bitcoin. Setelah dikaji, merupakan satu portfolio pelaburan yang high profit tetapi juga high risk disebabkan volatility pada harga Bitcoin. Cuba meletak sedikit modal di dalam Bitcoin, dan berjaya mendapat growth sebanyak 150% dalam masa cuma 2 bulan. Akan terus mengkaji dan melihat peluang pelaburan di dalam cryptocurrency, disebabkan ianya sektor yang amat berdaya maju.

Penghujung 2017 juga saya mengakhiri zaman kerja kilang sebagai Engineering Manager selama 16 tahun. Saya mengambil keputusan bersara awal dan cuba fokus kepada pelaburan sebagai sumber kewangan pasif. In Shaa Allah, sekiranya kita bijak merangka kewangan, menghormati rezeki, tidak boros, dan ringan untuk beramal, peluang rezeki tetap ada di mana-mana.

Wednesday 31 May 2017

Buffet Ramadhan Johor Bahru 2017