Sedar tak sedar, dah lebih tiga tahun saya di bawah bantuan AKPK. Setiap bulan tak miss bayaran AKPK, alhamdulillah. Ada bank yang hantar statement, ada yang tak, jadi agak sukar untuk melihat secara keseluruhan akaun hutang saya di bawah AKPK. Tapi memandangkan bank-bank pun dah tak ganggu saya melalui telefon, jadi saya pun kurang mengambil peduli sangat mengenai baki pinjaman di bank.
Hingga lah pada awal bulan lepas, saya tiba-tiba mendapat surat dari AKPK. AKPK memaklumkan yang hutang pinjaman peribadi saya bersama AEON telah habis dijelaskan.
Dahulunya, saya ada mengambil pinjaman peribadi dengan AEON sebanyak RM2,500, untuk 5 tahun dengan kadar faedah 16% p.a.. Ketika hutang-hutang saya diterima untuk dijaga oleh AKPK, saya dapati AEON langsung tidak mengurangkan kadar faedah meraka. AKPK hanya meletakan RM50 dari bayaran bulanan saya untuk dibayar kepada AEON. Tapi, mungkin sebab RM2,500 tu antara pinjaman yang paling sedikit, pinjaman AEON ini berjaya habis dulu dibayar.
Menurut surat AKPK, mereka menolak bayaran bulanan AKPK sebanyak nilai bayaran bulanan ke AEON. Ini memang sedikit sebanyak mengurangkan bebanan untuk buat bayaran AKPK tapi memandangkan dah 3 tahun saya meletakan budget untuk bayaran AKPK, jadi pengurangan RM50 tu tak nampak sangat.
Untuk mempercepatkan lagi tempoh untuk saya mencapai hidup bebas hutang, saya telah menggunakan RM50 yang kurang dari AKPK itu untuk dibayar secara terus ke bank pinjaman yang lain. Dengan ini, bank-bank lain pun akan lagi cepat habis hutangnya.
Dalam keseluruhan hutang saya, Kredit Kad AEON mempunyai nilai kadar faedah paling tinggi iaitu 18% p.a. Saya pun menggunakan lebihan RM50 itu untuk dibayar ke Kredit Kad AEON. Dalam sistem bebas hutang, ini dipanggil teknik 'Avalanche' di mana kita mengutamakan pinjaman yang paling tinggi kadar faedah untuk diselesaikan dahulu. Dengan cara ini, bank yang kadar faedahnya tinggi tidak dapat mengenakan bayaran yang tinggi pada kita. Kaedah 'Avalanche' agak lambat momentumnya, terutamanya untuk menyelesaikan baki pinjaman yang pertama. Tapi kaedah ini makin laju setelah akaun-akaun besar dah selesai dan tinggal akaun yang baki pinjamannya rendah sahaja. Kaedah ini juga paling menguntungkan kita kerana kita mengurangkan duit kita mengalir ke bank sebagai bayaran faedah kepada bank.
Ada satu lagi teknik, iaitu 'Snow-balling' di mana kita bayar pada pinjaman yang paling sedikit dahulu. Apa bila akaun yang sedikit itu dah habis bayar, kita gunakan lebihan budget itu untuk dibayar ke bank yang mempunyai baki pinjaman yang kedua sedikit. 'Snow-balling' agak bagus untuk mereka yang tidak mempunyai motivasi tinggi untuk menyelesaikan baki hutang. Dengan kaedah ini, lagi cepat nampak satu-satu akaun pinjaman berjaya ditutup dan diselesaikan.
Walaupun apa sahaja kaedah yang anda pilih, pilih la yang paling sesuai dengan kita. Jadikan proses bebas hutang kita lagi menyeronokkan dan bermotivasi. Selamat merdeka dari hutang!.