Salam kepada para pembaca. Beberapa rakan saya ada bertanya mengenai pengalaman saya membuat pinjaman peribadi dengan AEON credit service. Jika para pembaca pernah ke website AEON, pasti anda tahu yang maklumat di situ adalah amat terhad.
Sebelum saya terjah lebih mendalam, ingin saya terangkan pada semua bahawa AEON Credit Service hanyalah pemberi hutang melalui kredit kad, ansuran bulanan, insurans dan pinjaman peribadi sahaja sedangkan mereka sendiri bukanlah satu institusi bank. Disebabkan itu, keuntungan syarikat dari bahagian end customer profit terletak hanya melalui faedah (interest) dari pemiutang dan terhad pada perkhidmatan yang mereka tawarkan sahaja. Kalau nak dikatakan dengan lebih mudah, lebih kurang macam along la, cuma bagi pinjam duit, letak faedah (bunga) dan kutip keuntungan dari bayaran balik. Takde turnover syarikat dari saham, unit trust, atau yang sewaktu dengannya seperti institusi bank yang lain.
Berbalik kepada pinjaman peribadi atau apa sahaja perkhidmatan yang AEON tawarkan, saya ingin mengsyorkan supaya para pembaca cuba survey tempat lain dulu. Cuba tengok tawaran dari bank international dulu, sebab servis mereka antara yang terbaik. Kalau kita tidak menepati syarat mereka, cuba survey bank domestik pula seperti Maybank, CiMB, RHB dahulu. Kalau dah betul terdesak sebab susah nak memenuhi syarat bank domestik, barulah menjengah ke AEON Credit Service, itu pun setelah berfikir 5, 6 kali dulu ye.
Yang pertama, kadar faedah yang dikenakan adalah tinggi. Di website tulis 0.8% besar-besar, hanya buat gimik je. 0.8% tu untuk sebulan. SEBULAN tau, bukan setahun. Jadi setahun adalah 9.6%. Ooh, ok la tu kan, murah lagi, kan? Belum habis cerita ni. Kadar faedah 9.6% setahun tu hanya untuk pinjaman RM5,000 ke atas sahaja dan pemohon mesti sudah mempunyai kredit kad. Kalau pemohon belum ada kredit kad, minta maaf, banyak lagi berita buruk mendatang.
Kalau pemohon tidak ada kredit kad, adakah pemohon pemegang kad AEON Express? Kalau pemohon ada kad AEON Express, iaitu memang sudahpun menjadi customer kepada AEON, naik sikit kadar faedah pinjaman AEON ke 10% setahun. Baik sungguh AEON jaga existing customer, dapat kadar faedah 10% jer.
Oh, tapi kalau pemohon baru, belum pernah berurusan dengan AEON, dan belum ada kredit kad, berapa kadar faedahnya? Kalau pemohon baru, jangan risau, sama juga macam pemegang kad AEON Express, dapat kadar faedah 10% setahun asalkan meminjam lebih dari RM5,000.
Tetapi, kalau nak pinjam kurang dari RM5,000, ada beza tak? Teramat beza sangat. Kalau nak meminjam kurang dari RM5,000, untuk pemegang kad kredit dan kad AEON Express, kadarnya 14% setahun. Untuk pemohon baru yang tidak ada kad kredit pula, kadar faedahnya 18% setahun. Tak salah taip ni ye, memang 18% setahun. Dah sama macam buat cash advance pakai kad kredit pula.
Para pembaca boleh nilaikan sendiri sama ada berbaloi atau tidak untuk memohon pinjaman dari AEON ini. Fikir masak-masak sebelum memohon dan fikir masak-masak sebelum permohonan diluluskan.
Sekiranya anda telah pun meminjam dengan AEON, pastikan tidak tertinggal bayaran bulanannya. Sekiranya rekod pembayaran anda buruk, bersedialah untuk menerima surat merah dan panggilan telefon dari AEON yang bertubi-tubi dengan bahasa-bahasa yang teramat “manis” untuk memastikan anda memulangkan duit mereka.
Jika anda benar-benar ingin memohon, sediakan 1 salinan photostat Kad Pengenalan, 1 bulan slip gaji terkini dan salinan buku bank simpanan anda atau penyata bank. Untuk memohon, boleh walk-in ke mana-mana cawangan AEON Credit Service, atau poskan borang dan dokumen ke AEON Credit Service (M) Berhad, Level 29, Menara Olympia, No. 8, Jalan Raja Chulan, 50200 Kuala Lumpur, atau faxkan sahaja ke 03-2036 5988.
Bagaimana cara pembayaran jika pemohonan diluluskan? AEON akan kredit masuk wang pinjaman (selepas tolak bayaran-bayaran lain) ke bank simpanan pilihan anda.
Berhati-hati sebelum membuat pinjaman peribadi ye. Elakkan berhutang sekiranya masih ada jalan penyelesaian lain untuk masalah kewangan masing-masing.