Lego City menunjukkan usaha Legoland membentuk sebuah bandar
mini yang bertemakan Lego. Di sini ianya bebas dari bunyi hingar tunggangan
seperti roller coaster, tetapi
diganti pula dengan kebingitan pengunjung yang sibuk menggembirakan diri
menikmati kehidupan di Lego City.
Permainan | Kedai | Kemudahan Lain |
Lego Airport | Snack Bar | Tiada |
Rescue Academy | Market Restaurant | |
City Stage | ||
Lego Express | ||
The Shipyard | ||
Driving School | ||
Junior Driving School | ||
Boating School |
Lego Airport
Sebaik sahaja pengunjung tiba di Lego City, Lego Airport
merupakan bangunan pertama yang akan kelihatan. Lapangan terbang mini ini
menempatkan beberapa kapal terbang kecil yang dipusingkan seperti merry go round. Sesuai untuk kanak-kanak
sahaja, pengunjung kecil boleh menaiki kapal terbang ini dan mengawal
ketinggiannya sambil kapal terbang itu dipusingkan di sekitar lapangan terbang
ini.
Rescue Academy
Pengunjung mungkin teruja dengan hiruk-piruk jeritan
pengunjung lain yang kelihatan seronok berlumba di sini. Pengunjung perlu ke
hadapan sedikit untuk masuk melalui pintu bangunan yang dibentukkan seperti
balai bomba ini. Di Rescue Academy, 4 pengunjung yang boleh terdiri dari orang
dewasa atau kanak-kanak perlu menaiki salah sebuah dari 8 kereta bomba dan
kereta polis. Dengan isyarat mula dari pekerja Legoland di sini, para
pengunjung perlu berlumba memandu kereta bomba dan polis ini ke tempat
kebakaran, berlumba memadamkan api kebakaran dan kemudian bergegas kembali ke
station permulaan. Sungguh seronok berlumba sesama pengunjung di samping ahli
keluarga dan rakan-rakan bersorak di tepi untuk memastikan kumpulan mana
berjaya tamat dahulu dalam cabaran ini.
City Stage dan Snack Bar
City Stage yang berstruktur paling besar di sini dihasilkan
mengsimulasikan bentuk panggung wayang zaman 60-an. Walaupun City Stage belum
dibuka ketika kunjungan saya, saya difahamkan bahawa pengunjung boleh duduk di
kerusi ala stadium di sini untuk dipertontonkan dengan pertunjukan stunt di pentasnya. Terdapat juga Snack
Bar yang sebumbung dengan City Stage menjual makanan ringan dan minuman untuk
dibeli sebelum persembahan dimulakan, ibarat kedai-kedai di panggung wayang
yang sebenar.
Lego Express
Sekiranya pengunjung dewasa mencemburui keseronokan
anak-anak menaiki keretapi di Duplo Express, jangan risau, kerana Lego Express
menawarkan keretapi Lego besar yang boleh dinaiki oleh semua peringkat umur.
Keretapi di Lego Express menyusuri sekeliling Miniland and sebahagian dari Lego
City membolehkan pengunjung menikmati persekitaran Legoland di samping berehat
di dalam keretapi yang lengkap berbumbung ini. Paling menyeronokkan, ketika di
atas keretapi, semua pengunjung dan pekerja Legoland akan melambaikan tangan
kepada penunggang keretapi melambangkan lagi keceriaan dan kemesraan yang
dirasai oleh semua orang yang berada di Legoland.
The Shipyard
Pengunjung kecil sekali lagi ditawarkan dengan satu playground di sini. The Shipyard
membentuk satu kapal mini yang dilengkapi dengan tangga, jambatan, platform
bertingkat, tangga tali dan gelongsor di mana kanak-kanak boleh bebas
menjelajah di dalamnya. Persekitaran The Shipyard juga dilapikkan dengan lantai
getah yang selamat untuk kanak-kanak. The Shipyard mungkin agak terdedah kerana
tidak berbumbung, tetapi terdapat khemah besar bersebelahan dengannya sekiranya
hari hujan atau terlalu panas. Ibu bapa dinasihatkan memantau permainan
anak-anak di sini, kerana walaupun selamat, tetapi The Shipyard dibina dengan
binaan aluminium yang mungkin berisiko jika anak-anak bermain terlalu asyik di
sini.
Driving School
Melintas sedikit landasan keretapi di sini, pengunjung akan
ditatapi pula dengan satu pemandangan yang luas lengkap dengan bangunan mini,
lampu isyarat, tempat isi minyak yang disambungkan dengan jalan raya kecil.
Inilah dia Driving School untuk kanak-kanak 5 tahun ke atas. Di sini,
kanak-kanak perlu belajar memandu kereta bermotor (berkuasa bateri) dan belajar
mematuhi isyarat-isyarat jalan raya. Pekerja Legoland ditempatkan di sekitar
bandar kecil ini untuk memantau pemanduan anak-anak. Saya difahamkan bahawa
kanak-kanak yang belajar memandu di sini boleh mendapatkan lesen memandu
Legoland tetapi saya tidak pula berkesempatan melihat sendiri sistem
pembelajaran di Kelas Memandu mini ini.
Junior Driving School
Kanak-kanak antara 3 hingga 5 tahun mungkin akan merengek
sekiranya tidak dibenarkan turut serta dengan kakak dan abang mereka memandu di
Driving School. Jangan panik. Bawalah anak-anak kecil anda ke Junior Driving
School yang bersebelahan dengan Driving School. Di Kelas Memandu kecil ini,
kanak-kanak 3 hingga 5 tahun boleh juga memandu kereta mini di jalan yang lebih
pendek dan tidak terlalu luas yang cukup selamat untuk dipantau oleh ibu bapa
yang mungkin sibuk mengambil gambar kenangan anak-anak mereka memandu kereta
pertama mereka di sini.
Boating School
Bukan sahaja memandu kereta atau kapal terbang sahaja,
Legoland juga mahu pengunjung merasai keseronokan memandu bot. Di sini,
seorang dewasa dan seorang kanak-kanak boleh memandu sendiri bot mini
berkuasa bateri. Pandulah mengelilingi teluk binaan yang disediakan di sini.
Berhati-hati jangan pula berlanggar sesama sendiri ye, kerana kuasa pemanduan
bot ini 100% terletak di tangan anda. Sambil mengelilingi teluk di sini,
perhatikan model-model Lego bergerak yang dibina menghiasi jeti di Boating
School. Jangan lupa juga untuk bergambar ‘di dalam’ mulut ikan jerung yang
dibina menggunakan Lego betul-betul di pintu masuk Boating School ini.
Market Restaurant
Market Restaurant merupakan restoran yang disediakan di sini.
Ia menyediakan meja makan berhawa dingin dan juga open air mengikut keselesaan pengunjung. Ia menawarkan set makanan
barat seperti fish and chip, nuggets dan juga mee sesuai untuk makan tengahari.
Dari segi keluasan, Lego City antara kawasan tema yang terbesar
di Legoland Malaysia ini. Ia benar-benar menganugerahkan keseronokan kepada
kanak-kanak di samping ahli keluarga untuk bergembira beriadah di dalam bandar
mini ini. Memandangkan keluasannya, mungkin akan terasa lebih terik di sini
jika pengunjung ke Lego City pada waktu tengahari. Jadi agak sesuai jika datang
ke Lego City di waktu petang sedikit ketika teduh untuk benar-benar
menjelajahinya dengan rasa yang lebih selesa. Walaupun agak selamat, sila
pantau anak-anak kecil masing-masing kerana mudah untuk terlepas pandang
sekiranya anak-anak terlalu bebas berlari bersendirian menjelajah di Lego City
ini.
Sekiranya Lego City merupakan kunjungan terakhir di Legoland
Malaysia, sampai la masanya untuk menakluki pusat Legoland Malaysia. Dari Lego
City, lintas di tepi The Big Shop atau di tepi Lego Express untuk tiba di
Miniland.
Ikuti saya di dalam post saya seterusnya untuk bersantai di Miniland dan The Beginning.
Ikuti saya di dalam post saya seterusnya untuk bersantai di Miniland dan The Beginning.
2 comments:
Saya silent reader blog anda. Kebanyakan link download anda tidak sah. :)
Terima kasih atas makluman awak. Saya akan cuba mengmuat semula download file itu.
Post a Comment