Thursday, 27 September 2012

AEON : Pinjaman Peribadi i-Cash

Salam kepada para pembaca. Beberapa rakan saya ada bertanya mengenai pengalaman saya membuat pinjaman peribadi dengan AEON credit service. Jika para pembaca pernah ke website AEON, pasti anda tahu yang maklumat di situ adalah amat terhad.



Sebelum saya terjah lebih mendalam, ingin saya terangkan pada semua bahawa AEON Credit Service hanyalah pemberi hutang melalui kredit kad, ansuran bulanan, insurans dan pinjaman peribadi sahaja sedangkan mereka sendiri bukanlah satu institusi bank. Disebabkan itu, keuntungan syarikat dari bahagian end customer profit terletak hanya melalui faedah (interest) dari pemiutang dan terhad pada perkhidmatan yang mereka tawarkan sahaja. Kalau nak dikatakan dengan lebih mudah, lebih kurang macam along la, cuma bagi pinjam duit, letak faedah (bunga) dan kutip keuntungan dari bayaran balik. Takde turnover syarikat dari saham, unit trust, atau yang sewaktu dengannya seperti institusi bank yang lain.

Berbalik kepada pinjaman peribadi atau apa sahaja perkhidmatan yang AEON tawarkan, saya ingin mengsyorkan supaya para pembaca cuba survey tempat lain dulu. Cuba tengok tawaran dari bank international dulu, sebab servis mereka antara yang terbaik. Kalau kita tidak menepati syarat mereka, cuba survey bank domestik pula seperti Maybank, CiMB, RHB dahulu. Kalau dah betul terdesak sebab susah nak memenuhi syarat bank domestik, barulah menjengah ke AEON Credit Service, itu pun setelah berfikir 5, 6 kali dulu ye.

Yang pertama, kadar faedah yang dikenakan adalah tinggi. Di website tulis 0.8% besar-besar, hanya buat gimik je. 0.8% tu untuk sebulan. SEBULAN tau, bukan setahun. Jadi setahun adalah 9.6%. Ooh, ok la tu kan, murah lagi, kan? Belum habis cerita ni. Kadar faedah 9.6% setahun tu hanya untuk pinjaman RM5,000 ke atas sahaja dan pemohon mesti sudah mempunyai kredit kad. Kalau pemohon belum ada kredit kad, minta maaf, banyak lagi berita buruk mendatang.

Kalau pemohon tidak ada kredit kad, adakah pemohon pemegang kad AEON Express? Kalau pemohon ada kad AEON Express, iaitu memang sudahpun menjadi customer kepada AEON, naik sikit kadar faedah pinjaman AEON ke 10% setahun. Baik sungguh AEON jaga existing customer, dapat kadar faedah 10% jer.

Oh, tapi kalau pemohon baru, belum pernah berurusan dengan AEON, dan belum ada kredit kad, berapa kadar faedahnya? Kalau pemohon baru, jangan risau, sama juga macam pemegang kad AEON Express, dapat kadar faedah 10% setahun asalkan meminjam lebih dari RM5,000.

Tetapi, kalau nak pinjam kurang dari RM5,000, ada beza tak? Teramat beza sangat. Kalau nak meminjam kurang dari RM5,000, untuk pemegang kad kredit dan kad AEON Express, kadarnya 14% setahun. Untuk pemohon baru yang tidak ada kad kredit pula, kadar faedahnya 18% setahun. Tak salah taip ni ye, memang 18% setahun. Dah sama macam buat cash advance pakai kad kredit pula.

Para pembaca boleh nilaikan sendiri sama ada berbaloi atau tidak untuk memohon pinjaman dari AEON ini. Fikir masak-masak sebelum memohon dan fikir masak-masak sebelum permohonan diluluskan.

Sekiranya anda telah pun meminjam dengan AEON, pastikan tidak tertinggal bayaran bulanannya. Sekiranya rekod pembayaran anda buruk, bersedialah untuk menerima surat merah dan panggilan telefon dari AEON yang bertubi-tubi dengan bahasa-bahasa yang teramat “manis” untuk memastikan anda memulangkan duit mereka.

Jika anda benar-benar ingin memohon, sediakan 1 salinan photostat Kad Pengenalan, 1 bulan slip gaji terkini dan salinan buku bank simpanan anda atau penyata bank. Untuk memohon, boleh walk-in ke mana-mana cawangan AEON Credit Service, atau poskan borang dan dokumen ke AEON Credit Service (M) Berhad, Level 29, Menara Olympia, No. 8, Jalan Raja Chulan, 50200 Kuala Lumpur, atau faxkan sahaja ke 03-2036 5988.

Bagaimana cara pembayaran jika pemohonan diluluskan? AEON akan kredit masuk wang pinjaman (selepas tolak bayaran-bayaran lain) ke bank simpanan pilihan anda.

Berhati-hati sebelum membuat pinjaman peribadi ye. Elakkan berhutang sekiranya masih ada jalan penyelesaian lain untuk masalah kewangan masing-masing.

Thursday, 20 September 2012

Kad Kredit Tanpa Faedah

Salam kepada para pembaca. Mungkin para pembaca di luar sana mempunyai satu atau dua kad kredit. Adakah faedah yang dikenakan oleh pihak Bank membebankan? Adakah cara pengiraan faedahnya sungguh mengelirukan sampaikan rasa malas nak memeriksa pengiraan faedah dari transaksi anda? Inginkah anda menggunakan kad kredit anda tanpa dikenakan faedah?

Hari ini saya ingin menyentuh sedikit mengenai pengiraan 20 hari tanpa faedah (20 days interest free) yang ditawarkan oleh bank kepada pemegang-pemegang kad kredit.

Sebelum itu, diingatkan bahawa 20 hari tanpa faedah ini ada syarat-syaratnya :

  1. Bank anda ada menawarkan 20 hari tanpa faedah. Sila periksa syarat-syarat dari bank kad anda untuk memastikan anda diberi tempoh tanpa faedah ini.
  2. Hanya diberikan kepada pengguna kad kredit yang telah membayar penuh penyata terakhirnya. Pada mereka yang bayar minima atau sebahagian sahaja dari baki penyata bulan lepas, tidak mendapat 20 hari tanpa faedah ini.
  3. 20 hari tanpa faedah ini hanya untuk transaksi belian sahaja. Bagi transaksi pendahuluan wang tunai (cash advance) atau pemindahan baki (balance transfer), tidak diberikan tempoh tanpa faedah.
Cara untuk mengira atau mengenalpasti transaksi yang tanpa faedah, dapatkan satu salinan penyata kad kredit anda, sama ada atas kertas penyata atau secara online. Kenalpasti 2 maklumat penting iaitu, Statement Date (Tarikh Penyata) dan Due Date (Tarikh Perlu Bayar).

Contohnya:
Statement Date : 15 September 2012
Due Date : 3 Oktober 2012

Buat makluman anda, caj faedah transaksi anda dikira pada setiap hari, bukan hanya pada hujung bulan penyata. Ini bermakna, sekiranya transaksi belian anda dibuat pada 16 September, tempoh 20 hari tanpa faedahnya adalah sehingga 5 Oktober. Pada Statement Date 15 Oktober, transaksi 16 September telah pun dikira 10 hari caj kewangan dari 6 Oktober hingga 15 Oktober.

Sekiranya kita benar-benar hendak mengelakkan dari dikenakan sebarang faedah melalui 20 hari tempoh tanpa faedah, kira 10 hari sebelum tarikh Due Date. Dalam contoh di atas, 10 hari sebelum 3 November (Due Date penyata akan datang) adalah 24 Oktober. Ini bermakna, sebaik sahaja sampai Statement Date pada 15 Oktober kelak, jangan gunakan kad kredit sehingga 24 Oktober. Dengan itu, apabila penyata 15 November akan datang, tiada transaksi yang mencecah 20 hari dan semua transaksi yang tersenarai dalam penyata tidak dikenakan caj. Tapi pastikan bayar kesemua baki di dalam penyata 15 November itu sebelum Due Date 3 December untuk mengelakkan transaksi dikira faedah pada bulan akan datang.

Secara ringkasnya:

  1. Kenalpasti Statement Date dan Due Date.
  2. Kira 10 hari sebelum Due Date.
  3. Jangan melakukan apa-apa transaksi belian antara tempoh Statement Date hingga 10 hari sebelum Due Date.
  4. Bayar keseluruhan baki tertunggak di dalam penyata.
Pastikan juga periksa Statement Date setiap bulan kerana dikhuatiri pihak Bank mengubah Statement Date dan Due Date yang mungkin menyebabkan pengiraan kita terganggu. Gunakan kad kredit anda dengan bijak!!

Thursday, 6 September 2012

Review Legoland Malaysia - Lego City

Setelah penat menjelajah Land of Adventure, saya bawa para pembaca melihat pula persekitaran di dunia seterusnya iaitu Lego City di Legoland Malaysia.


Lego City menunjukkan usaha Legoland membentuk sebuah bandar mini yang bertemakan Lego. Di sini ianya bebas dari bunyi hingar tunggangan seperti roller coaster, tetapi diganti pula dengan kebingitan pengunjung yang sibuk menggembirakan diri menikmati kehidupan di Lego City.


Permainan Kedai Kemudahan Lain
Lego Airport Snack Bar Tiada
Rescue Academy Market Restaurant
City Stage
Lego Express
The Shipyard
Driving School
Junior Driving School
Boating School


Lego Airport

Sebaik sahaja pengunjung tiba di Lego City, Lego Airport merupakan bangunan pertama yang akan kelihatan. Lapangan terbang mini ini menempatkan beberapa kapal terbang kecil yang dipusingkan seperti merry go round. Sesuai untuk kanak-kanak sahaja, pengunjung kecil boleh menaiki kapal terbang ini dan mengawal ketinggiannya sambil kapal terbang itu dipusingkan di sekitar lapangan terbang ini.


Rescue Academy


Pengunjung mungkin teruja dengan hiruk-piruk jeritan pengunjung lain yang kelihatan seronok berlumba di sini. Pengunjung perlu ke hadapan sedikit untuk masuk melalui pintu bangunan yang dibentukkan seperti balai bomba ini. Di Rescue Academy, 4 pengunjung yang boleh terdiri dari orang dewasa atau kanak-kanak perlu menaiki salah sebuah dari 8 kereta bomba dan kereta polis. Dengan isyarat mula dari pekerja Legoland di sini, para pengunjung perlu berlumba memandu kereta bomba dan polis ini ke tempat kebakaran, berlumba memadamkan api kebakaran dan kemudian bergegas kembali ke station permulaan. Sungguh seronok berlumba sesama pengunjung di samping ahli keluarga dan rakan-rakan bersorak di tepi untuk memastikan kumpulan mana berjaya tamat dahulu dalam cabaran ini.


City Stage dan Snack Bar


City Stage yang berstruktur paling besar di sini dihasilkan mengsimulasikan bentuk panggung wayang zaman 60-an. Walaupun City Stage belum dibuka ketika kunjungan saya, saya difahamkan bahawa pengunjung boleh duduk di kerusi ala stadium di sini untuk dipertontonkan dengan pertunjukan stunt di pentasnya. Terdapat juga Snack Bar yang sebumbung dengan City Stage menjual makanan ringan dan minuman untuk dibeli sebelum persembahan dimulakan, ibarat kedai-kedai di panggung wayang yang sebenar.


Lego Express


Sekiranya pengunjung dewasa mencemburui keseronokan anak-anak menaiki keretapi di Duplo Express, jangan risau, kerana Lego Express menawarkan keretapi Lego besar yang boleh dinaiki oleh semua peringkat umur. Keretapi di Lego Express menyusuri sekeliling Miniland and sebahagian dari Lego City membolehkan pengunjung menikmati persekitaran Legoland di samping berehat di dalam keretapi yang lengkap berbumbung ini. Paling menyeronokkan, ketika di atas keretapi, semua pengunjung dan pekerja Legoland akan melambaikan tangan kepada penunggang keretapi melambangkan lagi keceriaan dan kemesraan yang dirasai oleh semua orang yang berada di Legoland.


The Shipyard


Pengunjung kecil sekali lagi ditawarkan dengan satu playground di sini. The Shipyard membentuk satu kapal mini yang dilengkapi dengan tangga, jambatan, platform bertingkat, tangga tali dan gelongsor di mana kanak-kanak boleh bebas menjelajah di dalamnya. Persekitaran The Shipyard juga dilapikkan dengan lantai getah yang selamat untuk kanak-kanak. The Shipyard mungkin agak terdedah kerana tidak berbumbung, tetapi terdapat khemah besar bersebelahan dengannya sekiranya hari hujan atau terlalu panas. Ibu bapa dinasihatkan memantau permainan anak-anak di sini, kerana walaupun selamat, tetapi The Shipyard dibina dengan binaan aluminium yang mungkin berisiko jika anak-anak bermain terlalu asyik di sini.


Driving School


Melintas sedikit landasan keretapi di sini, pengunjung akan ditatapi pula dengan satu pemandangan yang luas lengkap dengan bangunan mini, lampu isyarat, tempat isi minyak yang disambungkan dengan jalan raya kecil. Inilah dia Driving School untuk kanak-kanak 5 tahun ke atas. Di sini, kanak-kanak perlu belajar memandu kereta bermotor (berkuasa bateri) dan belajar mematuhi isyarat-isyarat jalan raya. Pekerja Legoland ditempatkan di sekitar bandar kecil ini untuk memantau pemanduan anak-anak. Saya difahamkan bahawa kanak-kanak yang belajar memandu di sini boleh mendapatkan lesen memandu Legoland tetapi saya tidak pula berkesempatan melihat sendiri sistem pembelajaran di Kelas Memandu mini ini.


Junior Driving School


Kanak-kanak antara 3 hingga 5 tahun mungkin akan merengek sekiranya tidak dibenarkan turut serta dengan kakak dan abang mereka memandu di Driving School. Jangan panik. Bawalah anak-anak kecil anda ke Junior Driving School yang bersebelahan dengan Driving School. Di Kelas Memandu kecil ini, kanak-kanak 3 hingga 5 tahun boleh juga memandu kereta mini di jalan yang lebih pendek dan tidak terlalu luas yang cukup selamat untuk dipantau oleh ibu bapa yang mungkin sibuk mengambil gambar kenangan anak-anak mereka memandu kereta pertama mereka di sini.


Boating School


Bukan sahaja memandu kereta atau kapal terbang sahaja, Legoland juga mahu pengunjung merasai keseronokan memandu bot. Di sini, seorang dewasa dan seorang kanak-kanak boleh memandu sendiri bot mini berkuasa bateri. Pandulah mengelilingi teluk binaan yang disediakan di sini. Berhati-hati jangan pula berlanggar sesama sendiri ye, kerana kuasa pemanduan bot ini 100% terletak di tangan anda. Sambil mengelilingi teluk di sini, perhatikan model-model Lego bergerak yang dibina menghiasi jeti di Boating School. Jangan lupa juga untuk bergambar ‘di dalam’ mulut ikan jerung yang dibina menggunakan Lego betul-betul di pintu masuk Boating School ini.


Market Restaurant


Market Restaurant merupakan restoran yang disediakan di sini. Ia menyediakan meja makan berhawa dingin dan juga open air mengikut keselesaan pengunjung. Ia menawarkan set makanan barat seperti fish and chip, nuggets dan juga mee sesuai untuk makan tengahari.

Dari segi keluasan, Lego City antara kawasan tema yang terbesar di Legoland Malaysia ini. Ia benar-benar menganugerahkan keseronokan kepada kanak-kanak di samping ahli keluarga untuk bergembira beriadah di dalam bandar mini ini. Memandangkan keluasannya, mungkin akan terasa lebih terik di sini jika pengunjung ke Lego City pada waktu tengahari. Jadi agak sesuai jika datang ke Lego City di waktu petang sedikit ketika teduh untuk benar-benar menjelajahinya dengan rasa yang lebih selesa. Walaupun agak selamat, sila pantau anak-anak kecil masing-masing kerana mudah untuk terlepas pandang sekiranya anak-anak terlalu bebas berlari bersendirian menjelajah di Lego City ini.

Sekiranya Lego City merupakan kunjungan terakhir di Legoland Malaysia, sampai la masanya untuk menakluki pusat Legoland Malaysia. Dari Lego City, lintas di tepi The Big Shop atau di tepi Lego Express untuk tiba di Miniland.

Ikuti saya di dalam post saya seterusnya untuk bersantai di Miniland dan The Beginning.

Wednesday, 5 September 2012

Review Legoland Malaysia - Land of Adventure

Berkesinambungan dengan Imagination di Legoland Malaysia, mari saya bawa pembaca ke dunia pra-sejarah dan zaman firaun ke Land of Adventure.


Dari dunia moden di Imagination, pengunjung dibawa kembali ke zaman pra-sejarah dan digandingkan bersama dunia Egypt di Land of Adventure.


Permainan Kedai Kemudahan Lain
The Dino's Island Jungle Café Tiada
Bettle Bounce Adventure Depot
Pharoah's Revenge
Lost Kingdom Adventure



The Dino’s Island


The Dino’s Island belum lagi dibuka untuk pengunjung ketika saya di sana. Tunggangan ini bertemakan zaman pra-sejarah. Untuk mengabadikan imej itu, terdapat model-model Lego berbentuk dinosaur di tepian sungai buatan ini. Melihatkan konsep tunggangan di sini, pengunjung perlu menaiki sampan kecil dan dibawa mendaki struktur bangunan di sini. Sampan itu digelongsorkan pula kemudiannya tepat menuju ke dasar sungai buatan ini. Dijangka pengunjung akan basah dengan limpahan air yang mendadak sebaik sahaja sampan itu terhempas ke arah sungai. Kemungkinan juga tungganggan ini dinanti-nantikan ramai untuk merasai sendiri keseronokan melalui cabaran berair ini.


Bettle Bounce


Bertemakan zaman firaun di Egypt dulu, Bettle Bounce memaparkan 2 menara berkonsepkan obelisk yang cukup terkenal pada zaman dahulukala. Setiap menara boleh menempatkan sehingga 7 orang penumpang. Pengunjung perlu duduk di kerusinya, dibawa naik ke puncak menara sebelum dijatuhkan semula. Walaupun nampak sedikit menyeramkan tetapi amat selamat dan tak tinggi sangat menaranya pun. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang gayat, cukup untuk membuatkan pengunjung menjerit kecil-kecilan.


The Pharaoh’s Revenge


Pharaoh’s Revenge bukan lah tunggangan dan bukan lah untuk orang dewasa. Ia merupakan playground untuk kanak-kanak sahaja. Di dalam bangunan yang teduh dan berkipas ini, kanak-kanak boleh bermain dengan memasukkan bebola ke dalam mesin yang akan memancutkan bola-bola ini menggunakan tekanan udara. Terdapat dua tingkat di dalam Pharaoh’s Revenge memberi cukup ruang untuk kanak-kanak bebas bermain dan berlari di dalamnya.


Lost Kingdom Adventure


Sekiranya anda meminati tema penjelajahan dan perlumbaan mencari harta karun, di sinilah tempatnya.  Di Lost Kingdom Adventure, pengunjung berempat akan dinaikkan di model kereta seperti tunggangan di dalam lombong-lombong lama. Setiap penumpang dibekalkan dengan pistol yang berlaser. Model kereta akan bergerak automatik membawa penumpang menjelajah di sini bertemakan suasana penjelajahan di dalam piramid. Sepanjang perjalanan, model-model Lego seperti scarab, mumia, labah-labah, kelawar dan sebagainya muncul dan penumpang perlu menembak model-model ini berpandukan lampu yang dikenakan di model tersebut. Di kerusi penumpang dipasang juga paparan LED yang memaparkan markah untuk tembakan yang tepat. Ini memberikan keseronokan bersama ketika penumpang saling berlumba untuk mengumpul markah yang terbanyak sepanjang penjelajahan di Lost Kingdom Adventure ini.


Jungle Cafe




Jungle Cafe merupakan restoran yang disediakan di Land of Adventure ini. Dengan binaan dari model-model kayu, restoran ini dibentuk bertemakan rumah-rumah pondok di dalam hutan. Ia menawarkan makanan snek seperti burger, fried fries dan sausage. Ia terletak bersebelahan dengan The Dino’s Island di mana pengunjung dapat menyaksikan kebingitan penumpang Dino’s Island di samping bunyi-bunyi yang menenangkan dari sungai buatan di Dino’s Island. Walau bagaimanapun, keseluruhan restoran ini berkonsep open air di mana ianya berbumbung tetapi tidak berpenghawa dingin seperti beberapa restoran yang lain.


Adventurer’s Depot


Adventurer’s Depot merupakan kedai yang disediakan di sini. Ia menjual pelbagai makanan ringan serta air dan aiskrim untuk menghilangkan dahaga. Terdapat juga model-model Lego dijual di sini untuk dijadikan koleksi bagi peminat Lego.


Jika dibandingkan dengan dunia lain di Legoland ini, Land of Adventure kelihatan agak kecil dan menawarkan cuma sedikit tunggangan kepada pengunjung. Selain The Dino’s Island, tunggangan di sini kelihatan sedikit hambar, lagi-lagi jika dibandingkan dengan kawasan lain. Walau bagaimanapun, konsep dunia zaman lampau yang cuba diterapkan di sini masih mampu memberi kelainan, bersesuaian dengan citarasa pengunjung yang berbeza.

Dari sini, ambil simpang ke kiri dan berjalan sedikit menuju ke kawasan tema seterusnya iaitu Lego City.

Nantikan post saya seterusnya di mana saya akan membawa pembaca beriadah pula di Lego City.

Monday, 3 September 2012

Review Legoland Malaysia - Imagination

Meneruskan ekspedisi seterusnya selepas melalui Lego Kingdom di Legoland Malaysia, mari saya bawa para pembaca untuk menyingkap dunia seterusnya di Imagination.




Legoland sekali lagi memberi satu perubahan persekitaran di Imagination. Apa yang pernah wujud di fikiran kita mungkin direalitikan di sini. Gunakan imaginasi anda untuk hidup di alam Imagination.


Permainan Kedai Kemudahan Lain
Build and Test Centre Pizza Mania Surau
Kid's Power Tower Baby Care
The Observation Tower
Lego Studio
Duplo Playtown
Duplo Express




Build and Test Centre


Sekiranya cuaca agak panas, jemputlah melepak di Build and Test Center yang tertutup dan berhawa dingin ini. Bukan sahaja persekitarannya yang selesa, malah ia memberi peluang untuk kanak-kanak (dan juga dewasa) untuk berjinak-jinak bersama Lego. Pengunjung boleh mendaftarkan diri di sini untuk diberi sepasang set tayar Lego. Gunakan alat-alat Lego di sini untuk membina model kereta mengikut kekreatifan masing-masing. Terdapat juga trek ringkas yang mana pengunjung boleh mencuba kewibawaan model kereta masing-masing dengan berlumba sesama sendiri.

Kid’s Power Tower


Kid’s Power Tower terdiri daripada 3 menara yang mempunyai tempat duduk yang bersambung dengan tali. Apa yang penunggang perlu lakukan ialah duduk di kerusinya dan menarik tali untuk mendaki menara tersebut. Di puncak menara, pengunjung boleh meninjau persekitaran Imagination ataupun melepaskan tali untuk menurunkan kerusi untuk panjatan seterusnya. Kid’s Power Tower memberi peluang ibu bapa dan anak-anak bersama menikmati keseronokan tunggangan ini. Oleh sebab itu, untuk setiap kerusi, hanya dibenarkan 1 orang dewasa dan 1 org kanak-kanak sahaja menaikinya. 2 org dewasa tidak dibenarkan naik bersama.

The Observation Tower


Ketika kunjungan saya, The Observation Tower masih belum dibuka untuk pengunjung. Melihatkan design menara ini, menara ini kelihatan mempunyai satu bahagian yang boleh dinaiki oleh penumpang. Penumpang pula akan dibawa tinggi ke puncak menara untuk melihat persekitaran Legoland. Mungkin fungsinya sama seperti Menara Taming Sari di Melaka. Apa pun, memang tak sabar menanti The Tower untuk berfungsi sepenuhnya yang bakal menjadi tumpuan kepada pengunjung kelak.


Lego Studio


Lego 4D Studio antara yang paling menarik dalam semua tunggangan ni Legoland Malaysia. Saya amat menekankan kepada pengunjung untuk tidak melepaskan peluang melihat siaran di Lego Studio ini memandangkan semua peringkat umur boleh masuk ke dalamnya. Seperti kita menonton wayang 3D, pengunjung juga turut diberi pinjam sepasang cermin mata 3D. Walau bagaimanapun, setelah mula siaran, pengunjung dapat menikmati pengalaman 4D yang takkan dapat dirasai di mana-mana panggung wayang. Untuk membiarkan pengunjung mengagumi sendiri teknik 4D, biarlah saya rahsiakan apa yang begitu menyeronokkan di sini. Pembaca kena datang sendiri dan nikmati sendiri pengalaman yang hebat di sini. Di bawah merupakan jadual siaran Lego Studio ketika kunjungan saya tetapi mungkin berubah dari hari ke hari. Mungkin pengunjung boleh merancang untuk mula beratur sekurang-kurangnya 15 minit lebih awal sebelum siaran bermula untuk memastikan studionya belum penuh.


 Duplo Playtown and Duplo Express


Duplo Playtown merupakan tapak permainan yang sesuai untuk semua golongan kanak-kanak. Keseluruhan tapak Duplo Playtown dilapikkan dengan lantai getah yang lembut dan selamat untuk kanak-kanak bermain di atasnya. Ianya juga berbumbung keseluruhannya memberi tempat berteduh untuk pengunjung berehat sambil memantau anak-anak mereka bermain. Turut dimuatkan sebumbung dengan Playtown adalah Duplo Express. Duplo Express ialah sebuah keretapi mini yang selamat untuk kanak-kanak yang menepati had ketinggiannya.
 
Pizza Mania


Restoran yang dibina di Imagination adalah Pizza Mania. Menawarkan menu makanan Itali seperti pizza dan spaghetti. Saya berkesempatan mencuba pizza beef pepperoninya berdiameter 10” berharga RM24. Walaupun agak mahal berbanding saiznya, tapi rasanya amat menarik. Dengan rotinya yang nipis dan rangup dan limpahan keju cheddar di atasnya memberi kepuasan pada para peminat pizza. Pizza bersaiz 10” ini cukup untuk dimakan berdua atau bertiga. Yang mengiurkan lagi selera pengunjung di sini, bukan sahaja restoran ini padat dengan bau pizza yang menyelerakan, malah dapurnya terletak di sebelah kaunter pesanan dan diletakkan kaca lutsinar di mana pengunjung boleh melihat sendiri bagaimana pizza disediakan dan dimasak menggunakan dapur conveyornya.



Selain dari ini, terdapat juga Baby Care terletak bersebelahan dengan Pizza Mania. Walaupun belum dibuka ketika saya di sana, tempat ini mungkin menawarkan bilik yang selesa untuk ibu bapa yang ingin menguruskan anak-anak kecil mereka seperti menyusu, tidur atau menyalin pakaian. Terdapat juga surau di sebelahnya, memudahkan pengunjung menunaikan ibadat solat di pertengahan kunjungan mereka di sini. Di tepi Imagination pula, terdapat satu kolam pancuran air yang masih belum berfungsi. Apa yang pada kira saya amat menarik mengenainya, ianya mempunyai beberapa pengesan pergerakan di tepian pancuran itu. Sekiranya pengungjung menghampiri salah satu pengesan itu, ia menghasilkan bunyi muzik yang unik. Dengan lebih kurang 6 pengesan di kelilinginya, dengan bunyi muzik yang berbeza, pengunjung boleh menghasilkan lagu sendiri dengan bergerak dari satu pengesan ke pengesan yang lain.

Dari sini, pengunjung boleh meneruskan perjalanan ke kawasan tema seterusnya iaitu Land of Adventure.

Ikuti post saya seterusnya mengenai lawatan ke Land of Adventure di Legoland Malaysia.

Sunday, 2 September 2012

Review Legoland Malaysia - Lego Kingdom

Sambungan kepada post saya yang terdahulu mengenai Lego Technic, mari saya menyambung semula perjalanan di dalam Legoland Malaysia ke satu lagi dunianya yang menarik iaitu, Lego Kingdom.




Lego Kingdom mengubah teknik high-tech dari Lego Technic ke zaman mediaval berdasarkan zaman raja-raja England dahulu kala. Di sini, lagenda-lagenda lama seperti Forestmen, Dragon dan Merlin dihidupkan kembali di dalam fantasi Lego Kingdom.


Permainan Kedai Kemudahan Lain
The Forestmen's Hideout King's Market Tiada
Dragon's Apprentice Knight's Feast
Castle Stage
The Dragon
Merlin's Challege
Royal Joust





The Forestmen’s Hideout
 
 
The Forestmen’s Hideout adalah binaan adventure yang sesuai untuk kanak-kanak menjelajah di dalamnya. Binaan dari kayu ini memberi peluang kepada kanak-kanak bergelongsor, memanjat, bergayut dan berlari di segenap pelosok The Forestmen’s Hideout. Disarankan ibu bapa turut memantau pergerakan anak-anak, dikhuatiri ada yang melakukan aksi-aksi stunt yang menyeramkan seperti terjun dari platform yang agak tinggi di sini.

Dragon’s Apprentice


Dragon’s Apprentice adalah tunggungan roller-coster mini yang turut boleh dinaiki oleh kanak-kanak berumur 6 tahun ke atas. Cabaran tunggangan ini agak “lembut” sedikit berbanding roller coster yang lain. Golongan dewasa yang agak ketaq lutut pun boleh menaiki tunggangan ini untuk merasai debarannya tanpa terkena serangan sakit jantung. Tapi jangan gelak sakan walaupun sekadar menaiki “anak naga” ini, kerana tunggangan ini turut memberi debaran yang berpatutan.

Castle Stage & The Dragon


Castle Stage antara binaan terbesar di Legoland Malaysia. Binaan istana lama zaman raja English kuno ini sungguh cantik dan dibuat dengan ketelitian. Jangan lepaskan peluang untuk bergambar di sini ye. Di sini juga merupakan pintu masuk ke The Dragon, tunggangan roller coster yang tidak kurang hebatnya berbanding Project X. Sesuai untuk orang dewasa berumur 13 tahun ke atas sahaja. The Dragon menawarkan tunggangan yang sungguh mendebarkan dan menyeronokkan. Di samping itu, disebabkan tungunggan ini antara yang tertinggi di Legoland Malaysia, turut juga menawarkan pemandangan seluruh Legoland yang saujana mata memandang dalam beberapa saat sebelum menghempas, menerbalikkan, memecut dan menonggang-langgangkan penunggang yang menjerit sampai terkeluar anak tekak.


Merlin’s Challenge


Tunggangan Merlin’s Challege agak selamat di mana pengunjung duduk berdua di atas kerusinya and dipusingkan seperti merry-go-round. Mungkin akan rasa sedikit pening lalat tetapi agak menyeronokkan untuk naik bersama keluarga dan kawan-kawan. Pastikan kanak-kanak di atas 3 tahun dan menepati syarat ketinggiannya sahaja boleh turut menaiki tunggangan ini.


Royal Joust


Royal Joust selamat untuk dinaiki oleh kanak-kanak berumur 3 tahun ke atas. Kanak-kanak akan dipakaikan tali pinggang keselamatan dan duduk di atas model kuda Lego dan dibawa mengelilingi kawasan Royal Joust. Walaupun nampak tunggangan ini selamat, kanak-kanak di bawah 3 tahun masih tidak dapat dibenarkan naik kerana sukar untuk memantau pergerakannya memandangkan kanak-kanak terpaksa bersendirian di atas tunggangan sepanjang perjalanannya.


Knight’s Feast


Knight’s Feast merupakan restoran yang disediakan di Lego Kingdom. Ia terletak bersebelahan dengan The Dragon. Knight’s Feast menawarkan makanan ringan ala barat seperi sausage dan fried fries. Makanannya dalam lingkungan belasan ringgit, sesuai untuk mengisi perut di waktu pagi dan petang.


King’s Market


King’s Market merupakan kedai menjual cenderahati bertemakan Lego Kingdom seperti patung Knight, Dragon dan Merlin serta alat permainan seperti sword, shield, crown dan tiara. Seperti mana alat-alat mainan Lego yang lain, harganya agak standard mahal tetapi mungkin berbaloi bagi peminat-peminat Lego untuk mendapatkan permainan Lego di sini untuk koleksi masing-masing.



Lego Kingdom juga dihiasi dengan model-model yang dibina menggunakan Lego. Kebetulan pula, salah satu maskot Lego iaitu Ollie, memunculkan diri semasa saya di sini memberi kesempatan untuk bergambar dengannya. Jangan lupa untuk mengambil gambar kenangan di sini berlatarbelakangkan konsep dunia English kuno yang begitu menarik.

Selepas menghabiskan masa di Lego Kingdom, turun bukit sedikit dan pusing ke arah kiri untuk memasuki satu lagi kawasan tema Lego iaitu Imagination.


Ikuti post saya seterusnya untuk review di dunia Imagination.

Saturday, 1 September 2012

Review Legoland Malaysia - Lego Technic



Tanggal 31 Ogos 2012, saya telah diberi kesempatan untuk mengunjungi Legoland Malaysia di Nusajaya, Johor. Legoland ini merupakan Taman Tema yang bertemakan Lego yang keenam dibina di dunia dan merupakan Legoland pertama di Asia.

Legoland Malaysia dijangka akan dibuka secara rasmi hanya pada 15 September 2012. Hari Keluarga yang diadakan pada 31 Ogos 2012 hanya dibuka untuk ahli keluarga pekerja-pekerja di Legoland Malaysia.

Di pintu masuk Legoland Malaysia dihiasi dengan pintu gerbang yang dibina mengikut konsep Lego.

Di tepi pintu gerbang itu, terletak kaunter tiket dan juga mesin ATM untuk memudahkan pengunjung membeli tiket untuk masuk selepas Legoland Malaysia dibuka kelak. Kaunter tiket telah pun dibuka untuk pengunjung membeli awal tiket-tiket mereka.


Selepas melepasi pemeriksaan tiket, saya terus berada di salah satu daripada 7 kawasan tema Legoland Malaysia iaitu dipanggil “The Beginning”.


 Ini merupakan peta keseluruhan Legoland Malaysia yang merangkumi 76 ekar kawasan taman tema.


 7 kawasan tema di Legoland Malaysia adalah:
1)      The Beginning
2)      Lego Technic
3)      Lego Kingdom
4)      Imagination
5)      Land of Adventure
6)      Lego City
7)      Miniland

Untuk pengunjung dewasa, saya syorkan untuk terus ke kiri ke arah Lego Technic. Untuk mereka yang membawa kanak-kanak, saya syorkan ke kanan ke arah Lego City dahulu.

Sekiranya pengunjung lebih tertarik untuk menaiki rides atau permainan-permainan yang ditawarkan, mari saya mulakan dengan Lego Technic.

Lego Technic


Lego Technic memperkenalkan permainan berasaskan high-tech. Perhatikan teknologi-teknologi Lego yang diguna-pakai di sini.


Permainan Kedai Kemudahan Lain
Technic Twister Robot Kitchen Tiada
Aquazone Wave Racers
Project X
Lego Mindstorm
Lego Academy



Technic Twister


Sesuai untuk orang dewasa dan kanak-kanak di atas umur 3 tahun. Sehingga 4 orang pengunjung perlu duduk di dalam tunggangan berbentuk cawan dan akan berpusing-pusing sepanjang permainan. Ada juga stering di tempat duduk di mana pengunjung boleh mengawal pergerakan pusingannya. Technic Twister tidak berapa menakutkan tetapi boleh menyebabkan rasa pening lalat sikit dengan pusingan-pusingannya. Agak menyeronokan untuk naik sekeluarga atau dengan kawan-kawan.


Aquazone Wave Racers


Sesuai untuk orang dewasa dan kanak-kanak di atas umur 6 tahun. Pengunjung perlu berdiri di atas model bot yang akan berpusing mengelilingi paksi tengah seperti merry-go-round. Model bot itu terletak di atas air dan juga mempunyai stering di mana pengunjung boleh mengawal pusingannya. Apa yang menyeronokkan mengenai Wave Racers ini, di tepi kolam tersebut diletakkan papan kawalan yang mana pengunjung lain boleh memancutkan air kepada pengunjung yang sedang menaiki Wave Racers. Tapi jangan gelak tak hengat pula bagi para pemancut air sebab kadang kala pemancut air makan tuan dan memancutkan air kepada pengunjung di tepi kolam juga. Pengunjung yang menaiki bot dan juga yang memancutkan air mungkin akan basah sedikit tapi tak la sampai ke tahap lencun.

Project X


Project X antara permainan yang paling menakutkan antara semua rides. Jadi ia sesuai untuk orang dewasa melebihi 13 tahun sahaja. Pengunjung perlu duduk di dalam model kereta yang boleh menempatkan sehingga 4 orang penunggang dan akan melalui cabaran roller coaster yang mendebarkan. Walaupun cabaran tunggangan ini tidak semerbahaya roller coaster lain di luar sana, tetapi disebabkan model kereta kecil yang perlu dinaiki memberi perasaan seperti ianya akan tertanggal dan terjatuh pada bila-bila masa sahaja. Ia adalah antara tunggangan yang paling menyeronokkan dan mendapat sambutan hangat, jadi beraturnya pun agak panjang. Diharap pengunjung dapat bersabar dan ambil masa lebih sedikit di Project X.

Ketika saya menaiki Project X, didapati pihak Legoland tidak menyediakan pre-load untuk memeriksa ketinggian penunggang sebelum beratur. Jadi agak membuang masa sedikit jika pengunjung beratur dan akhirnya tidak dapat naik sekiranya tidak mematuhi ketinggian yang dibenarkan. Di harap pihak Legoland dapat memantau ketinggian pengunjung di pre-load untuk mengelakkan pengunjung kecil beratur lama di sini tetapi tidak dapat naik ke Project X.


Lego Mindstorm dan Lego Academy


Lego Mindstorm dan Lego Academy terletak sebelah menyebelah di bangunan yang sama. Dua permainan ini bukanlah jenis tunggangan tetapi lebih kepada bengkel pembelajaran. Di Lego Academy, pengunjung boleh menggunakan permainan Lego untuk mencipta binaan mengikut kekreatifan masing-masing. Lego Mindstorm pula sedikit high-tech di mana dengan model-model Lego, pengunjung boleh mencipta robot dan model-model kejuruteraan yang lebih kompleks. Jangan lupa juga untuk bergambar di hadapan model sains terkenal Albert Einstein di situ yang dibina 100% menggunakan blok-blok Lego.

Robot Kitchen


Robot Kitchen adalah restoran yang disediakan di kawasan Lego Technic. Ia menawarkan makanan berperasa Asia seperti kari ayam yang diubah sikit cara masakannya untuk menyuntik menu barat. Harga makanannya dalam lingkungan belasan ringgit. Jangan pula tertipu dengan namanya ya, sebab dah penat saya cari, satu robot pun tak wujud dalam dapurnya. Jadi makanannya disediakan oleh jurumasak-jurumasak manusia yang tegar memberikan layanan yang baik dan pantas kepada para pengunjung.


Di Lego Technic juga terdapat model binaan dari Lego dan maskot-maskot Lego yang kadang-kala muncul di sini. Jangan lepaskan peluang untuk bergambar di sini. Terdapat juga pancuran air berlampu berdepan dengan Robot Kitchen. Melihatkan keadaan pancuran air itu, walaupun bersusah dan berpayah ibu bapa menjaga anak, ada kemungkinan yang amat besar anak-anak akan melencunkan diri di pancuran air ini. Jadi jangan lupa bawa pakaian lebih untuk anak-anak dan biarkan sahaja mereka mandi di pancuran air itu. Ibu bapa jangan pula join sama, buruk bebenor kalau orang ramai tengok mak bapak terkinja-kinja di pancuran air yang bersaiz kanak-kanak itu.

Selepas Lego Technic, ambil simpang kiri dan berjalan naik bukit sedikit ke arah Lego Kingdom.

Saya akan menulis review untuk Lego Kingdom pada post yang seterusnya.